ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan bersikap zalim dengan membiarkan kampung tradisi menjadi mangsa pembangunan khususnya berkaitan status pajakan tanah Kampung Melayu Majidee.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata status pajakan tanah bukan satu bentuk pencerobohan tetapi sebaliknya ia adalah satu pegangan sah di sisi undang-undang.
Katanya, status pajakan tanah tetap memberikan hak milik penuh kepada pemilik termasuk hak untuk mewariskan, menjual dan membuat pembangunan, tertakluk kepada syarat dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Baru-baru ini, sebanyak tujuh permohonan pembaharuan pajakan tanah di Kampung Melayu Majidee diluluskan dan diserahkan. Ini bukti komitmen kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses permohonan.
“Maju Johor bukan bermakna menghapuskan kampung Melayu. Kita tidak mahu bandar tanpa akar, atau pembangunan yang melupakan warisan.
“Maka, kerajaan mengambil pendekatan dasar yang seimbang iaitu mengekalkan pegangan pajakan sebagai rangka dasar guna tanah, namun dengan sokongan dasar yang jelas, tegas dan menyebelahi rakyat, khususnya komuniti Melayu bandar.
“Kita tidak akan membiarkan kampung tradisi menjadi mangsa pembangunan. Sebaliknya, kita akan bangunkan kampung ini dengan acuan kita sendiri. Kampung yang moden, berdaya saing, tetapi kekal dengan jiwa Melayunya. Itulah wajah Johor yang kita impikan. Sebuah negeri yang membangun dengan akar yang kukuh, berteraskan warisan dan berpaksikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata apa yang dilaksanakan kerajaan adalah satu pendekatan yang seimbang, inklusif dan terancang untuk memastikan kampung tradisi berkenaan tidak hanya kekal, tetapi terus berkembang dalam landskap bandar yang moden dan dinamik.
“Ia tidak akan dihilangkan dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain, sebagaimana termaktub dalam Enakmen Rizab Melayu Johor.
“Rancangan Khas Kawasan (RKK) Perkampungan Tradisi Melayu Johor Bahru sedang digubal, supaya kampung ini menjadi sebahagian daripada kawasan dan tidak terpinggir daripada arus kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee masih menanti jawapan berhubung status permohonan Tanah Rizab Melayu (TRM) hak milik kekal, yang dimohon sejak tahun lalu.
Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (PERKAM) dilapor memaklumkan permohonan penukaran status TRM Kampung Melayu Majidee kepada hak milik kekal dibuat pemilik tanah dan penduduk, selepas merujuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) Johor.