GUA MUSANG: Hampir 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi di sini, yang terbabit projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri berharap penempatan baharu mereka dapat disiapkan mengikut jadual.
Penduduk menyatakan mereka sudah bersedia berpindah ke penempatan baharu yang mempunyai kemudahan asas lebih baik seperti dijanjikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Jenny Adik, berkata masyarakat Orang Asli tidak sabar berpindah ke penempatan baharu yang terletak di Kuala Yai.
“Kami berharap kampung baharu yang kini dalam proses pembinaan dilengkapi infrastruktur lebih baik dan dapat disiapkan segera.
“Ini kerana meninggalkan penempatan yang kami diami sejak turun temurun demi pembangunan dan kemajuan adalah pengorbanan besar yang kami lakukan.
“Jadi, penduduk kampung berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan sempurna seperti dijanjikan seperti jalan berturap, bekalan elektrik, air, tanah kebun dan sekolah,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi di sini.
Bagi Raman Abas, 70, dia bersama ahli keluarga sedia berpindah ke penempatan baharu yang disediakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandangkan perkampungan itu dijangka tenggelam apabila Empangan Hidroelektrik Nenggiri beroperasi pada 2027.
Katanya, penduduk di Pos Tohoi bersetuju berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi segala kemudahan termasuk kemudahan jalan dan sekolah.
“Walaupun sedih meninggalkan rumah dan kampung ini, namun demi pembangunan kami terpaksa terimanya.
“Saya pasti merindukan suasana di Pos Tohoi kerana di sini banyak kenangan termasuk kubur nenek moyang dan sungai tempat penduduk mandi serta mencari ikan sungai.
“Selain rumah dan tanah kebun, tempat bersejarah bagi komuniti Orang Asli suku kaum Temiar termasuk Gua Cha dan Gua Chawas juga akan tenggelam bagi memberi laluan kepada projek empangan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, projek pembinaan penempatan baharu masyarakat Orang Asli Pos Tohoi di Kampung Kuala Yai sedang giat dilakukan TNB.
Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja mendapat penempatan baharu tetapi pelbagai kemudahan asas lain yang lebih baik berbanding kampung lama.
“Penduduk akan dapat perumahan selesa, kemudahan moden dan lengkap.
“Kita harap ada sinar baharu bagi masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi untuk menjalani kehidupan baharu mereka di Kuala Yai,” katanya.